TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH KE BLOG SAYA.. SILA DATANG LAGI..

11 December 2011

Solat @ sembahyang menurut perspektif Islam

LUQMAN al-Hakim menyuruh anaknya agar menunaikan solat sebagaimana wasiatnya: “Hai anakku! Dirikanlah solat.”

Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan solat kerana solat merupakan fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT melalui utusanNya di bumi (dari kalangan Nabi dan Rasul).

Selepas manusia ditegah dari melakukan syirik dan taat kepada Allah dan QudratNya yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa, datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan yang serasi dengan prinsip-prinsip tauhid, yang mana salah satu darinya adalah solat.

Solat adalah tiang agama. Dalil keimanan dan keyakinan hamba terhadap Ilahi. Jalan mendekatkan diri kepadaNya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan mensucikan diri.

Islam menggalakkan ibu bapa menyuruh anak-anak mereka agar menunaikan solat di kala menjelang umur 7 tahun (mumayyiz) dan memukul mereka sekiranya mereka meninggalkan solat ketika mencapai umur 10 tahun. Pada waktu ini, ibu bapa disuruh mengasingkan tempat tidur mereka.

Ini adalah satu cara didikan Islam yang menyanggahi segala ideologi Barat yang salah. Pendidikan Barat tidak bersetuju dengan cara menakut-nakutkan (tarhib) dan tidak suka mengakuinya (sebagai suatu cara yang baik dan berkesan).

Tetapi Allah SWT menyanggahi mereka dalam dasar demikian, di mana Dia menggalakkan para hambaNya dengan nikmat syurga dan menakutkan mereka dengan seksaan neraka. Orang-orang yang tidak berasa gembira menerusi ayat-ayat mengenai syurga, maka dia akan berasa gerun menerusi ayat-ayat mengenai neraka